Thursday, March 8, 2007

DINAR EMAS

Perdana Menteri juga menyentuh mengenai cadangan penggunaan Dinar Islam atau Dinar Emas di kalangan negara Islam. Katanya, penggunaan Dinar Emas mempunyai banyak kelebihan seperti kestabilan nilai dan mengurangkan risiko spekulasi. "Dinar Emas boleh dipegang sebagai Rizab Bank Pusat. Dagangan tidak semestinya dibayar menggunakan Dinar sebenar tetapi eksport dan import di antara dua negara boleh diimbangi dan hanya perbezaannya dibayar dalam dinar. Ini akan mengurangkan keperluan untuk menggerakkan Dinar. Malah, lebihan atau defisit dagangan boleh dikredit atau didebitkan bersandarkan import atau eksport masa depan."


Tambah beliau perdagangan dunia sebenarnya boleh diperluaskan melalui penggunaan Dinar kerana kos perniagaan akan berkurangan memandangkan tiada lagi keperluan bagi melindungi nilai matawang. Antara kelebihan penggunaan Dinar Islam ialah sebagai bayaran untuk dagangan antarabangsa, mempunyai nilai tetap, boleh digunakan sebagai rizab bank pusat dan tidak terdedah kepada manipulasi. Konsep Dinar Islam ialah sejenis matawang Emas tulin. Mengikut standard pertubuhan perdagangan Islam setiap Dinar mempunyai ciri-ciri berikut, berat sebanyak 4.3 gram, diperbuat daripada Emas 22-karat dan berukur lilit 23 milimeter.


Standard ini digunapakai sejak zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Menurut satu laporan, idea Dinar Islam semakin mendapat sambutan daripada kalangan negara Islam kerana ramai berpendapat sistem matawang yang ada sekarang tidak lagi diyakini. Bagaimanapun, Datuk Seri Doktor Mahathir yang juga Menteri Kewangan, berkata, penggunaan Dinar Islam tidak bermakna penggunaan matawang sesebuah negara dihentikan. "Cadangannya ialah menjadikan Dinar ini matawang perdagangan antarabangsa sahaja. Ia tidak akan menggantikan matawang mana-mana negara."